Saturday, February 23, 2013

Featured | MyMetro : Ekspresi diri menerusi imaginasi

Terima kasih kepada Puan Siti dari Harian Metro kerana sudi memaparkan berita kami :)..

Source : MyMetro  Oleh Siti Zarinah Sahib


Ramai ibu bapa tidak membenarkan anak bermain dengan peralatan tajam seperti jarum, gunting dan pisau kerana bimbang boleh mencederakan mereka. Ada pula penjaga langsung tidak percaya pada kemampuan kanak-kanak mengendalikan seni asas jahitan kerana beranggapan ia berkaitan kerja orang dewasa.

Mana mungkin si kecil yang baru berusia empat dan lima tahun mampu menghasilkan seni kerja tangan yang comel serta memerlukan ketelitian tinggi. 
Tambah pula apabila membiarkan mereka bermain dengan jarum benang dan fabrik yang tidak sesuai dengan peringkat usia mereka. 


Namun, jangan dipandang rendah pada kebolehan kanak-kanak kerana sekiranya diberi latihan dan asuhan, mereka mampu menghasilkan produk seperti orang dewasa malah ada yang lebih baik daripada itu.

Foto


Ini diakui tenaga pengajar serta pemilik laman sesawang www.sekocinorlie.com, Norliza Samingon, 34, yang aktif menjalankan kelas kemahiran membuat kraf tangan daripada fabrik felt.

Katanya, kanak-kanak dapat menzahirkan idea kreatif mereka dengan mengenal serta menggunakan bahan dan peralatan seni seperti kertas lukisan, kertas warna, berus, warna, krayon dan bahan buangan di persekitaran. 

Aktiviti seni dan kraf membantu kanak-kanak untuk lebih memahami nilai, corak, harmoni dan warna dalam seni visual. 

Selain itu, ia juga membantu si kecil mengenali garisan, rupa, bentuk, jalinan, warna dan ruang yang dapat memupuk minat dan memperkembangkan potensi dan bakat seni mereka. 



"Malah, perkembangan fizikal kanak-kanak dapat dikuasai menerusi aktiviti kraftangan. Penggunaan bahan dan peralatan dalam aktiviti seni dan kraf memberikan satu bentuk latihan berkesan kepada otot, koordinasi tangan serta penglihatan kanak-kanak. Secara tidak langsung, kemahiran motor kanak-kanak dapat dipertingkatkan dengan berkesan," jelasnya. 

Perkara yang sama turut dinyatakan Loy Chee Luen di dalam buku Perkembangan Seni dan Kraf Kanak-Kanak 2011, yang menjelaskan aktiviti seni kreatif seperti melukis, mewarna, kraf tangan, muzik, nyanyian, drama, puisi dan membentuk arca, memberi peluang kepada si comel merealisasikan imaginasi mereka dalam pelbagai cara. 

Ini termasuk seni jahitan pada kanak-kanak yang dikatakan sebagai satu cara menggunakan kemahiran seni dan menzahirkan perasaan menerusi imaginasi dan kreativiti.

Norliza yang menjalankan kelas kraftangan kanak-kanak sejak 2009 menjelaskan, minat mengendalikan bengkel bermula ketika dia menyiapkan tempahan pelanggan untuk bunga tangan dan perhiasan. Seperti biasa, anak sulung gemar mengganggu Norliza menjahit menyebabkan dia hanya membiarkan apa yang ingin dilakukannya. 

"Menyedari anak mahu melakukan perkara yang sama, saya mula mengajar dan mendapati dia mudah mempelajarinya. Keterujaan anak membawa hasil kraf ke sekolah dan menggayakannya kepada rakan menimbulkan idea untuk membuka kelas untuk kanak-kanak," katanya. 

Bermula dengan menjalankan bengkel di rumah kemudian dijemput untuk menjalankan kelas di rumah peserta pada majlis hari jadi, sekolah dan kini dijemput mengendalikan kelas untuk bilangan peserta yang hampir mencecah 300 orang. 

Untuk kraf felt, biasanya proses pengajaran bermula dengan melakar, memotong, memilih warna, menjahit dan menghias manakala rekaan bergantung kepada umur kanak-kanak bermula pada usia empat hingga enam tahun.

"Untuk memastikan apa yang dilakukan mereka selamat, biasanya ibu bapa menemani anak-anak ketika sesi pembelajaran selain menggunakan peralatan selamat. Selalunya saya menyediakan peralatan dan bahan melainkan aktiviti dibuat di sekolah," katanya yang menjalankan bengkel selama tiga jam bergantung kepada rekaan dan umur peserta. 

Antara kraftangan dihasilkan ialah rantai kunci, penanda buku, perhiasan rambut, pin, kerongsang dan hiasan pada beg atau pasu bunga. 

Menurut Norliza, aktiviti seni dan kraf untuk kanak-kanak memberi lebih penekanan kepada proses berbanding hasil produk. Menerusi pembelajaran dan penguasaan kemahiran, ia dapat membentuk kerohanian, sikap dan nilai positif kepada kanak-kanak bagi menjadikan mereka lebih sabar dan fokus terhadap tugasan yang diberi. 

"Kanak-kanak yang didedahkan dengan aktiviti seni dan kraf bukanlah dilatih untuk menjadi pelukis atau artis semata-mata sebaliknya membantu perkembangan kemahiran, mental dan emosi mereka," katanya. 

Disebabkan kanak-kanak mudah hilang tumpuan dan cepat bosan, cabaran utama adalah untuk menarik perhatian supaya lebih fokus dengan cara berinteraksi dengan mereka. Ada juga kanak-kanak yang cepat berputus asa dan tidak mahu meneruskan aktiviti. 

Sebagai tenaga pengajar, pujukan dan kata-kata motivasi amat penting. Ini kerana ibu bapa yang menghantar anak mengharapkan sesuatu di akhir bengkel bagi melihat kemampuan dalam bidang kraftangan. 

Selain itu, ada juga kanak-kanak yang memilih rekaan sehingga keliru dalam menentukan bentuk kraftangan yang akan diajar. Kanak-kanak lelaki misalnya langsung tidak mahu mengikut aktiviti jika rekaan itu berbentuk kewanitaan seperti corak bunga atau klip rambut.

"Namun, semua cabaran ini dapat diselesaikan kerana selalunya saya bertanya dulu minat peserta sekiranya diadakan dalam kelompok kecil jadi, aktiviti akan menjadi lebih mudah. Namun, sekiranya bilangan peserta ramai, perbincangan dijalankan dengan pihak penganjur bagi memastikan rekaan memenuhi minat semua pihak," katanya yang mengadakan kelas pada musim cuti sekolah atau hujung minggu, bergantung kepada permintaan.

Sebagai tenaga pengajar saat paling menggembirakan apabila melihat kanak-kanak berbangga dengan hasil jahitan mereka serta tidak sabar-sabar menggayakannya. 

Pernah satu ketika ada seorang kanak-kanak lelaki menyertai bengkel yang disertai semua peserta perempuan. Apabila ditanya dia mengatakan mahu menghadiahkan sesuatu yang unik kepada ibu dan adik perempuannya. 

"Memang saya sangat gembira apabila kanak-kanak yang masih kecil menghargai apa yang mereka lakukan. Sekurang-kurangnya mereka mula belajar mengenai kesabaran dan cara menghargainya dengan memberikan kepada orang tersayang," jelasnya. 



Walaupun ada ibu bapa khuatir anak mereka tercedera akibat tercucuk jarum, Norliza mengakui 90 peratus kanak-kanak akan tercucuk jarum ketika mengikuti kelas pertama, tetapi bukan sehingga mencederakan mereka. Ini kerana selepas melakukan kesilapan, mereka biasanya lebih peka dengan peralatan jahitan serta tahu cara mengendalikannya dengan lebih berhati-hati. 

Ini sesi yang sangat penting untuk meyakinkan ibu bapa bahawa alatan jahitan boleh dikendalikan kanak-kanak tanpa mencederakan mereka.

"Sepanjang kelas tidak pernah kanak-kanak menangis atau tidak mahu meneruskan jahitan. Sebaliknya mereka akan berhenti sebentar dan meneruskan aktiviti. 
Sepanjang sesi, saya juga akan sentiasa mengingatkan mereka berulang-kali mengenai cara mengawal peralatan tajam dengan berhati-hati," ujarnya. 

Norliza yang mengenakan bayaran antara RM20 sehingga RM100 bergantung kepada rekaan, bahan dan bilangan peserta, menasihati ibu bapa supaya tidak menyekat bakat serta kreativiti anak-anak dan membiarkan mereka meneroka apa yang mereka minati sama ada melukis atau menjahit asalkan tidak memudaratkan. Sebagai tanda penghargaan, beri galakan, dorongan serta pujian kepada mereka.

Selain itu, jangan takut untuk memberikan peralatan tajam kepada si kecil sebaliknya beri peluang kepada mereka untuk mengetahui fungsi peralatan itu dengan sentiasa berada di samping mereka ketika melakukan aktiviti kraftangan. 

"Apabila sudah diajar dengan cara ini mereka akan tahu fungsi alatan itu dan faham mengapa ia perlu dikendalikan dengan berhati-hati untuk mengelakkan kecederaan," katanya yang kini mempunyai Rumah Kraf Sekoci bagi menempatkan peserta bengkel yang terletak di Jalan Tanjung Karang, Shah Alam, Selangor 
Bagi mereka yang berminat menyertai kelas kraftangan, boleh melayari laman sesawang www.sekocinorlie.com atau e-mel kepada sekocinorlie.gmail.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/20

Behind the scene  :



















0 comments:

Post a Comment